Monday, June 18, 2012

Abang Saiful dan buah durian

Abang Saiful memberhentikan motornya di depan gerai durian. Dah lama Kak Gayah bersungut ndakkan durian. Dah duatiga kali Abang Saiful lalu depan gerai tu tapi ada saja halangannya. Belakang ada lori laju, lah. Kereta banyaklah. Terlupa, lah. Hari ini tidak lagi. Abang Saiful dah berada di depan gerai durian.

Dia akan bawak pulang durian untuk Kak Gayah harini.

Abang Saiful mendekati raga yang berisi raja buah tersebut. Rambang biji matanya melihat buah berduri-duri berlonggok-longgok di tepi jalan. Abang Saiful mengangkat sebijik D24. Digoncangnya. Dia terasa ada benda bergetar kat dalam. Dia meletakkan buah tu. Matanya tertacap ke arah sebijik yang nampak tegap dan ranum.

''Alo tokey, mau D24? Semua isik banyak baik punya'' sapa sorang mamat Melayu bermuka melekit kepada Abang Saiful. Abang Saiful memandang mamat tu.

''Saya tak kesah mahal, tapi saya mahu yang baik. Saya mau bawak balik kasi bini makan'' kata Abang Saiful dalam lenggok gaya ala-ala Cina. Padahal dia dan mamat tu, duadua Melayu. Tahapapasal, duadua cakap cam Cina. Mungkin bau durian yang semerbak di tepian jalan, mempengaruhi cara percakapan Melayu, kot.


''Aiya, sumua baek punyaa, tokey. Tak caya boleh kasi bukak, tengok. Pilih-pilih!'' kata mamat muka melekit seraya berpaling menyahut lambaian tangan seorang kakak yang dah buat keputusan. Abang Saiful dah pegang buah durian pilihannya tadi. Dia mencium sekeliling buah itu, memastikan semua bahagian ada bau, yakni semua ruas ada buah. Kengkadang bau dia satu bahagian jer. Bahagian lain takde bau. Bukan apa. Abang Saiful dah banyak kali terkena. Benda beli tepi jalan, bukan boleh pulang-pulang macam beli kat supermarket. Jadi, masa nak beli tu, kena pilih betul-betul. Barulah berbaloi. Abang Saiful membelek-belek pulak pola duri pada buah duriannya. Berkerut keningnya. Macam-macam skil. Abang Saiful tunggu mamat muka melekit selesai memulangkan baki duit akak tadi.


Tibatiba, sebuah 4x4 berhenti rapat dengan gerai. Nyaris ajer nak tersenggol moto kapcai Abang Saiful. Abang Saiful ushar ajer. Sorang mamat Cina muda keluar dari 4x4. Dia terus dekat dengan mamat muka melekit yang kini sedang mengambil buah durian dari tangan Abang Saiful, nak kupas.


''Salam 1Malaysia! Kasi saya dua bakul, D24. Kasi taruk belakang, haaa'' kata pemuda Cina itu sambil menunjukkan ke arah 4x4nya. Mamat muka melekit menyuruh Abang Saiful pegang duriannya sekejap dan berlari ke belakang lori. Seketika kemudian, dua orang budak lagi keluar dan memanjat lori yang berisi durian. Mereka mula mengasingkan buah-buah durian ke dalam bakul.


Tibatiba ajer Abang Saiful rasa nak beli durian ni lain kali...


Published with Blogger-droid v2.0.4

Thursday, June 7, 2012

Atan dan Abu ''Api takde dalam syurga''

''Apasal manusia kena masuk neraka jugak? Bukan ke manusia dihasut setan?''

Tengah lepak-lepak tepi beranda umah brader bus stand, Atan tetiba tanya kat Abu yang leka main game apa ntah kat hempon android barunya. Sejak Abu dah ada keja dan dapat gaji dan beli hempon android ni, Abu semakin kurang bercakap. Dia cuma kadangkala kelihatan tersenyum atau berkerut sensorang tatkala menatap paparan kecil hemponnya.

''Setan tu api. Api nak idup, kena ada bahan bakarnya. Bahan bakarnya ialah manusia'' jawab Abu tanpa memalingkan wajahnya, pun. Atan agak sentap dengan ketidakacuhan Abu.

''Apa kena mengena setan api, kita bahan api dengan kita takbley masuk syurga?'' tanya Abu bak mesingan.

''Benda yang terbakar, duadua tak masuk syurga. Kasi padam api tu dulu. Api takde dalam syurga, bhai'' jawab Abu selamba, lagi. Atan terdiam. Dia kagum dengan tahap keselambaan Abu. Walaupun jawapan Abu tu tak tentu lagi betul atau tidak. Kekomfidenan wajah Abu masa dia mengucapkan jawapan tadi, cukup nak menundukkan ego yang mula nak naik dek sentapan kerana ketidakacuhan Abu masa menjawab soalan pertama tadi. Atan rasa dia dah ketinggalan. Dia pun keluarkan hempon dia jugak. Atan pun main game jugak.


Malam tu senyap, tanpa abnormaliti yang biasa...


Published with Blogger-droid v2.0.4

Thursday, May 17, 2012

Atan dan Abu: Kenapa Pompuan Takbley Poligami

Aku sedang leka menaip di hemponku tatkala Atan dan Abu datang dengan muka cemas. Diorang kalau datang kat aku dengan muka macamni, dah tentu tadi diorang ada bincang-bincang apa-apa, pastu dah stuck, pastu baru nak cari aku. Aku ni, dah jadi macam tempat diorang check sama ada persoalan yang mereka hadapi itu bodoh tak bodoh sebelum diorang pergi tanya kat orang yang lebih arif. Macam Abang Karkun atau Brader Bus Stand, contohnya...


''Ok, ni apa masalahnya kalini?'' tanya aku bak ada kuasa telepathy boleh baca pikiran orang.


''Eh? Camana kau tau?'' tanya Abu kehairanan. Atan juga merenungku dengan muka penuh minat. Aku juga terperanjat dengan ketepatan serkap jarangku.

''Korang kalau jalan laju dengan muka berkerut tu, mesti ada soalan-soalan fikah, tu'' sambungku lagi, bagai acuh tak acuh, ala-ala orang yang betul-betul boleh baca pikiran orang. Atan nampak goyang.


''Kenapa pompuan takbley poligami, tapi lelaki boleh?'' tanya Atan tanpa membuang masa. Aku memandang pada Atan. Kemudian pada Abu. Abu pandang aku. Aku pandang Atan semula. Atan menggeleng.


''Tidakkah tuhan itu macam tak adil di situ?'' sambung Atan lagi. Abu berkerut. Aku senyum.


''Kalau macam tu, tuhan tak adillah lahirkan kau sebagai lelaki dan awek kau sebagai pompuan'' kataku memulakan mukadimah. Atan dan Abu berkerut tanda tak paham.


''Setiap kita ada peranan dan tugas masing-masing. Kita ni, sebagai manusia contohnya, selain jadi Khalifah di bumi, kita juga adalah asbab membiaknya manusia atas muka bumi ni. Peranan institusi rumahtangga ialah untuk memastikan semua ni berlaku dengan tertib. Tertib ialah takde kemudian didahulukan, dahulu dikemudiankan. Setuju?''


Atan dan Abu mengangguk serentak.


''Dan kalau kau dijadikan sebagai lelaki, kau ada kapabiliti untuk jadi adil, lantas kapabiliti untuk berpoligami. Macam orang muslim dilahirkan Islam sebab mereka ada kapabiliti untuk sambung kerja Baginda SAW. Cuma ada yang asah kapabiliti dan jadikan ia realisasi, ada yang tak asah. Yang asah, akan dapat kelebihan, yakni iman haqqul yakin atau dalam konteks kita ni; poligami, dan yang tak asah sekadar jadi seorang muslim atau sorang bini je la.''

Atan dan Abu melopong mendengar sambungan mukadimah dariku.


''Kapabiliti nak main dan membiak tu, semua orang dah ada sejak akil baligh. Part kapabiliti untuk berlaku adil, tenang dan tidak dilalaikan oleh isteri, harta dan anak pinak tu, yang tak semua dapat'' sambungku panjang lebar. Macam ustaz pulak rasanya. Aku beristighfar nak elakkan ujub.


''Tapi, apa kena mengena dengan adil tak adil dengan pompuan takbley poligami?'' tanya Abu. Dia yang sepatutnya jadi pihak yang paham, dah sama-sama tak paham agaknya setelah dengar mukadimah aku tadi.


''Senang cerita camni, laa. Islam tu sumbernya Al Quran dan Hadith. Sains, lojik akal, falsafah, matematik dan segala ilmu dalam dunia ni pulak, tak mungkin bercanggah dengan Al Quran tadi. Dan kalau masa kita menilai sesuatu tu, tak masuk akal, maka adalah yang kita salah paham kat mana-mana tu''


''Okayhhh...'' kata Atan. 'OK' panjang dia tu menunjukkan dia masih tak paham dan menunggu penjelasan lanjut. Abu keluarkan kotak nusannya. Dia tarik sebatang. Atan sambar kotak itu dan tarik keluar sebatang juga. Aku raguragu nak sebat ke tidak. Atan menghulur. Abu mengushar (rokok dia). Aku menolak.


''Dalam kes poligami, kalau pompuan boleh poligami, akan timbul persoalan. Persoalan kalau pompuan tu termengandung, kepada sapakah anak itu akan dibinkan. Ayah tuakah? Ayah mudakah? Atau boypren?''


Atan makin berkerut. Abu muka cam dah paham tapi ntahlah.


''Kalau pompuan boleh berpoligami, maka hilanglah kesucian institusi keibuan. Title ibu tu boleh dipersoalkan. Tak macam sekarang, title ibu tu untouchable. Orang Ateis pun anggap pompuan kalau ada hubungan lebih dari 1 lelaki at one time itu tak diterima dek akal, inikan pulak dalam agama yang memartabatkan nilai kewanitaan?''


Atan dan Abu diam...


''Manusia ada kecenderungan nak buat silap. Dalam hal masalah sex contohnya, dari zaman tok nenek lagi merupakan satu 'silap' yang memang faveret manusia lakukan. Dan jika otak manusia 'diprogram' pun bahawa pompuan berhubungan dengan lebih dari 1 lelaki pada satu masa itu sebagai OK, maka risikonya ialah satu baby tapi 4 bapak taknak ngaku. Sekarang ni yang one by one pun ramai lari tanggungjawab, apatah lagi bila lelaki ada point nak lepas diri camni'' aku berenti hambik napas. Aku ushar Atan dan Abu.


Atan dah geleng kepala. Abu mengangguk pula.


''Dari segi teknikal pun, institusi keluarga dalam dunia ni, tuhan dah atur siap dengan escape plan dan guide. Kita manusia ni ajer yang tah mana buku kita baca, tah mana movie kita tengok, tah mana site kita access, kita ingat kita pandai, maka kita mula mempersoal'' kataku terkenangkan satu peristiwa lama.


''Aku tanya sebab aku nak tau dan aku nak paham. Aku selalu nak tanya benda ni. Tapi takut sebab takut orang label soalan aku ni soalan bodoh. Sekarang kau dah nikah, maka aku rasa, setidak-tidaknya kau mungkin ada sikit paham dengan ini konsep''


''Poligami ni merupakan solusi kepada masalah institusi kekeluargaan dalam Islam. Macam para janda yang kehilangan suami tibatiba, atau kes-kes kesihatan yang spesifik. Maka demi menjaga kesucian wanita, keturunan dan harta, mereka dijodohkan dengan mereka yang layak. Itupun setelah dimesyuaratkan oleh ahli masyarakat dan keluarga. Bukan abang bincang dengan akak janda kat kedai kopi pastu sendiri-sendiri decide nak hidup bersama, membelakangi isteri pertama atau masyarakat'' kataku lagi bagaikan baca skrip. Mana aku tau semua nipun, aku pun taktau. Tapi elok jer laju mengalir point-pointnya.


''Tapi konsep poligami ni telah disalah erti oleh muslim zaman sekarang. Asalkan kaya jer, dah dikira mampu, adil dan layak. Padahal kalau diukur betul-betul, baca patihah pun jahanam lagi, kengkadang'' kata Atan yang dah mula paham. Jelas terpancar semangatnya. Dia memang camtu. Semangat dia naik masa dia mula paham dan tahu tentang sesuatu ilmu agama yang baru. Excited nak share kat orang. Sampai tahap kengkadang tu ada gak rasa macam nak sekeh kepala dia sebab dah nak berlagak mufti pulak.


''Kalau nak tunggu sumer orang pandai ilmu agama baru layak kawen, alamat ramailah anak dara tua, dan bayi di tong sampah. Jualan kondom akan triple kat negara ni'' kataku berseloroh.


''Hahaha. Eh, cantik, lah! Kalau nak tunggu pandai ilmu agama baru nak dakwah, alamat dah kembali ke zaman jahiliahlah Malaysia ni, kan'' kata Abu pula. Aku mengangguk.


Lama mereka melepak denganku petang tu. Sampai aku pun dah lupa aku patut buat apa tadi...


*artikel ini ditulis dalam keadaan mengantuk dan tujuannya adalah santai. Bukan untuk dijadikan hujah disurau atau diceramah politik. Sekian.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Monday, May 14, 2012

Andai Ku Tahu covered by Ramli Sarip

Aku amat terkesan dengan lagu ni. Lagi power kesannya dari lagu Burried Alive dari Avenge Sevenfold haritu. Pergh! Abang Ramli memang rock!

Wednesday, May 2, 2012

Aku hanya manusia.




...dan tatkala dah tiada lagi tempat bolehku lari,
Dan bilamana tiada stimulan yang dapat melengahkan,
Aku akan berhadapan dengan saat itu:


Saat rasa menyesal kerana berlengah lengah tatkala punya waktu nak menyelesaikan.
Saat rasa siasia segala penatjerih yang rupanya sedikit pun tidak menjawab soalan.


Dan pada masa itu
biasanya AKU akan kaku,
Aku!
Aku yang selama ini tahu apa nak buat,
Aku yang sentiasa penuh dengan tipu muslihat,
Akhirnya mengalah juga pada suasana,
Andai badai yang menimpa
Cukup kuat serta datang tibatiba.


Berikan aku seketika,
Akukan kembali
Setelah semput ni reda.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Thursday, April 26, 2012

Musuh Yang Nyata

Abu berenti keja dan konon-konon dia nak sahut seruan kerajaaan dengan memulakan bisnes sendiri. Baru setengah tahun, bisnes dia lingkup. Dan selama dua tahun Abu terkontang-kanting ke sana ke mari cuba mengimbangi kewangannya sebab dia tiada pendapat tetap tapi hutang piutangnya fixed. Huruhara jugaklah Abu kejap pinjam duit member, kejap mintak bantuan Baitulmal, kejap hantar surat kat MB. Macam-macam cara Abu buat. Sampai pernah jugaklah Abu mintak bantuan kat church. Lama-lama Abu mengalah buat keputusan nak makan gaji semula. Tak sampai sebulan dia bekerja semula, dan belum pun dia merasa gaji pertamanya, surat dari LHDN sampai, kata dia dah tak bayar cukai selama dua tahun. Diikuti dengan surat murat dari bank dan lawyer dan longkai tarik kereta. 8 bulan dah Abu kerja semula, semua gajinya diguna untuk membayar hutang...

Seorang kontraktor bisnes welding dan grill, duduk termenung jauh di kedai kopi. Bila ditanya kenapa termenung, dia berkongsi masalahnya yakni pegawai kerajaan yang diamanahkan dengan projek dia, pau dia lebih-lebih sebab dia nak dapatkan projek. Projeknya cuma pasang kanopi jer, tapi ni dah kena pasang awning kat umah pegawai la, bayar yuran anak pegawai tu lah. Keja dah deliver, tapi payment tak masuk-masuk lagi. Time buat claim, pegawai layan macam dia ni peminta sedekah pulak. Ni pekerja-pekerja dia semua pakat lari sebab tak dapat duit gaji.

Di pangkin sebuah rumah, seorang graduan universiti melepaskan lelah selepas memesin rumput di halaman rumah maknya. Dah 3 tahun dia grad tapi masih lagi dok kat kampung. Bila ditanya kenapa, beliau cuma jawab bahawa dia kena jaga maknya yang dah tua. Dialah anak tunggal dan kalau dia kerja, mak dia yang dah tua takde sapa nak jaga. Takleh nak harap jiran-jiran sebab jiran-jiran lagi tua dari mak dia. Sekarang dia dan mak dia hidup hasil dari pencen arwah bapaknya yang bekas guru dulu. Di satu sudut lain, kerajaan bagi elaun kat Tahfiz yang kali terakhir mamat tu baca AlQuran ialah masa dia form 5.

Di tengah-tengah bandaraya, sepasang suami isteri berpelukan tidur di bawah jambatan LRT. Mereka baru tiba ke bandar ini dan tak mampu nak bayar sewa rumah. Makan malam mereka ialah belas ehsan para sukarelawan kristian yang datang setiap malam. Tempat mandi mereka ialah tandas di kedai mamak tempat mereka bekerja. Dan mereka cuma didatangi oleh kaum sebangsa dan seagama mereka tatkala mereka perlukan pengundi baru...

Di satu jalan sunyi, dua pendatang DENGAN izin dari Nepal, berguling atas tanah menahan sakit di rusuk akibat ditusuk oleh sekumpulan mamat berpakaian polis dan RELA dengan cota. Mereka disakiti kerana dalam poket mereka cuma ada RM50 sedangkan mamat-mamat tadi nak pau RM300 sorang. Mereka ada passport, mereka ada permit. Tapi disakiti kerana tak mampu nak belanja abam abam berkuasa ni kopi mahal.

Di satu sudut, pemimpin berdegar-degar cuba meyakinkan pelabur dan rakyat, yang negara ini menuju ke arah yang sepatutnya dengan kelajuan yang sepatutnya. Di satu sudut lain, para rakyat yang berkabel hidup senang lenang, takyah beratur, diberikan hak istimewa di mana saja mereka berada. Sedangkan sebelah rumah orang kaya ni jer, seorang ayah separuh gila cuba memikirkan mana nak cari duit nak bayar utang kawannya yang minta dibayar balik dengan semalaman dengan isterinya.

Dari bawah jambatan, dan di tepi-tepi jalan kelihatan seorang mamat menguis longkang, menyelongkar tong sampah mencari tin dan botol kosong untuk dijual. Dengan duit yang tak seberapa tu, dia belikan makanan untuk keluarganya. Di satu upacara pula, bertong-tong makanan dibuang kerana usianya dah lebih 3 minit dan Tuanku tak makan makanan tak fresh...

Namun, sedikit benci pun, tiada dalam hati mereka yang ditindas ini. Bahkan mereka masih menadah tangan, meminta kepada Allah agar memaafkan orang yang menindas, dan tangguhkan bala yang sepatutnya dah turun kat negara ni sejak 80an dulu. Dah macam ni pun, orang yang didoakan memandang mereka tak bermata...

Marilah kembali mencari titik kesamaan dan lupakan tampuk perbezaan. Ingat! Musuh yang nyata bukanlah saudara kita. Atau manusia yang tak mengerti itu. Musuh yang nyata ialah yang duduk dalam hati kita, ni...

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tuesday, April 24, 2012

Berakhir dengan keseorangan...

Adakah anda merancang mati sensorang?
Seorang pakcik tua termenung kosong di katil. Memerhatikan teman di katil sebelah, yang dikunjungi oleh ahli keluarga dan sahabat handai. Baru dua hari mamat tu di sini. Di wardkan kerana kemalangan jalan raya. Orang tua tu berkalih menghadap dinding. Cuba melelapkan hati yang tersentuh dek keseorangan. Sungguhpun dia redha dengan ketentuan, namun hati sebagai manusia yang menghampiri masa tamat, tetap tersentuh tatkala realiti menghabiskan masa dengan keseorangan, lebih perit dari apa yang dijangkakan.

Hatinya tak tenteram. Dia bangun dan cuba membawa diri ke arah tandas. Beberapa kali dia terhenti mengelakkan orang-orang muda dan misi yang bukan saja takmau mengalah dengan orang tua, malah tak perasan agaknya yang dia seorang pesakit di hospital ini. Si tua merungut dalam hatinya. Jika di hospital swasta, tentu dia akan disorong naik kereta ke mana saja mahunya. Tapi ini hospital kerajaan. Kalau nak tunggu misi tu datang tolong atau tanya nak kencing ke pakcik, alamat berkubang dalam urine la dia kat katil. Pakcik tua tu menggeleng kepala keseorangan. Itu jerlah yang mampu warga tua buat zaman sekarang lakukan tatkala melihat kekurang asaman golongan muda yang langsung tak sensitip dengan budaya atau etika. Belum habis gelengan ketiga, Pakcik menggeleng lagi sebab kena tunggu turn nak masuk tandas.

Kat tandas, tah sapa-sapa entah semua masuk. Tandas hospital dah jadi macam tandas awam yang takyah bayar. Semua pakat nak terberak terkencing kat tandas ward ni agaknya. Ataupun, bila dah sampai ke tingkat orang tua ni, pundi dan buah pinggang semua orang tetiba gagal menahan aliran urin yang nak keluar. Pakcik tua kita berdiri di sebelah mamat muda yang leka memicit butang-butang di hemponnya. Pakcik pandang mamat, mamat pandang pakcik. Pakcik senyum, mamat kalih muka buat cam takde perasaan. Sungguh tinggi budibahasa budak muda zaman sekarang. Kedengaran bunyi flush ditarik. Pintu tandas yang bukan ditunggu oleh pakcik tua atau mamat terbuka. Seorang brader ber sideburn pulis, keluar dengan muka puas hati. Pakcik tua yang dah macam nak terkucil, memandang muka mamat muda dengan harapan mamat tu akan membenarkan orang tua yang tak berdaya macam dia guna tandas dulu. Taaaak. Mamat tu terus meluru pantas bagaikan ke dalam tandas yang baru dikosongkan. Keterkejutan pakcik tua kita dek kepantasan mamat muda tadi nyaris saja membuatkan beliau terkucil. Puas dia mengemut. Terkucil jugak sedikit..Hadusss...

Setelah selesai diperbantingan, pakcik tua mengemudi dirinya perlahan-lahan kembali ke perbaringan. Dari jauh kelihatan keluarga teman sebelah katil tadi masih ada. Siap ada anak-anak sedaranya sedang bergonjeng terlompat-lompat di atas katil pakcik kita. Pakcik tua semakin menghampiri. Beliau tersenyum ke arah temannya yang sedang leka main-main dengan anak sedara. Tak perasan agaknya. Pakcik nak kembali ke katil tapi ada dua budak kecik mengushar beliau dengan ketat. Pakcik tu tersenyum, membeli sedikit masa. Nampaknya, makbapak budak ni mungkin tak sedar fakta bahawa anak mereka sedang berada di atas katil yang dia amat perlukan setelah bersusah payah pergi dan balik dari menandas tadi. Masih takde sapa yang nak alihkan bebudak tu. Pakcik pandang kiri dan kanan. Ahli keluarga temannya buat tak tau ajer. Nak tak nak, terpaksalah pakcik membawa diri ke katil kubikel sebelah, dan duduk di kerusi pelawat.

...sampai terlelap-lelap orang tua tu kat situ...

Tuesday, April 3, 2012

Aku Penakut


Aku seorang penakut
Aku seorang pengecut.
Aku tak tahan dugaan.
Aku kantoi dengan cobaan.

Kerana itulah,
Aku semakin kurang bersuara...
Andai tiada yang bertanya
Dalam hal agama...

Tuesday, March 6, 2012

Cinta

Mengapakah begitu sukar untukku

Mendapatkan percikan dari Rahmah Mu,

Acapkali aku dapati diriku,

Terdampar menggelupur mengharapkan kasihanMu


Oh Tuhan, mengapakah begitu susah

Mendapatkan kasih sayangMu?

Mengapakah aku perlu lalui semua ini

Demi mencari nilai ku pada Mu

Adakah aku begitu hina?


Tatkala aku lemah dah mengalah,

Kau angkat semangatku dan buatkan ku meredah panas hujan caci dan hina.

Tatkala aku dikemuncak semangat,

Kau campakkan ku ke lembah kesempitan keterdesakan dan tandatanya.


Sungguh aku tidak tahu

Apakah yang Kau mahu

Namun itu tak mematahkan semangatku

Untuk terus didampingi Mu


Published with Blogger-droid v2.0.1

Tuesday, February 21, 2012

Dayus?

Betapa mudah nak melabelkan seseorang itu dayus, pelacur atau murahan.
Betapa mudah nak mengisikan hati ini dengan kebencian dan keangkuhan.
Telinga yang ada memang mendengar,
Tapi hati tak pernah dibuka untuk memahami.
 Mata yang ada memang melihat,
Tapi pancaindera yang ada tidak pernah merasai.
Apalagi yang bisa si bisu sampaikan?
Selain senyuman yang diiringi tangisan,
Serta kaki yang longlai untuk terus berjalan,
Menadah tangan kepada yang kasihan,
kepada yang masih
bersifat kemanusiaan...

Dunia ini Darul Asbab
Jadilah asbab sampainya rahmat Allah ke dunia ini...

Friday, January 27, 2012

Rahsia yang Ali r.a tahu tentang Allah?


Aku sedang melepak menusan di beranda rumah brader bus stand dengan Abang Karkun. Tengah leka-leka memoncongkan bibir nak buat O, nak celen adik beradik Abu dan Atan, tetiba abang Karkun berkata:


"Kau tau Wan, aku sejak dari kecik ada banyak benda yang aku mintak kat Allah. Banyak benda yang pelik-pelik..."


Aku berhenti menghembus asap nusan dari peparuku namun bibirku masih memoncong. Mataku ke kiri kanan cuba mencari jawapan. Dan dengan moncong-moncong tu, aku gelengkan kepala.

"...Ada, aku mintak nak terbang, lah. Siap buat solat hajat, nii. Ada mintak nak jalan atas air. Yang dah jadi rutin ialah mintak nak mimpi makan satu talam dengan Baginda SAW..."

Aku sedut nusanku yang dah tinggal suku dan mencucuh puntung ke ashtray. Ni mesti citer best, ni. Dah lama abang Karkun tak citer benda-benda camni ngan aku...OK. Aku diam.



"Kau ingat tak cerita yang ada satu hari tu, ada sorang sahabat bertanya kepada Ali r.a tentang Allah. Kemudian jawapan dari Ali r.s pulak ialah yang lebih kurang bunyinya: "Kalau aku beritahu kau jawapannya, kau akan kata aku telah melakukan kesyirikan"...Camtuu, laa bunyinya. Kau ingat tak, Wan?"

Aku gelengkan kepala dengan spontan, seperti yang dijangkakan.


"...dan antara yang paling pelik aku mintak , aku pernah mintak kat Allah akan jawapan kepada soalan sahabat tadi kepada Ali r.a..."

Abang Karkun mengalihkan pandangannya ke kejauhan bagaikan nak mula mengimbas satu siri kenangan pahitmanis yang tak tercerita dek lisan, tak tergambar dek perbuatan, hanya boleh difahami oleh yang merasai...


"...dan aku rasa, Allah dah bagitau aku jawapannya..."

Aku excited. Yes!

"Apa jawapannya, bang?" tanyaku bagaikan kanak-kanak yang tak sabar-sabar nak dapat gula-gula.


"Kalau aku beritahu, nescaya kau kena laksanakan hudud ke atasku..." jawab abang Karkun sambil buat roll eyes. Masa tu aku rasa macam nak ambik puntung nusan tu dan cucuh kat mata abang Karkun.

Melawak, rupanya!

Lain-lain cerita berkaitan:

Related Posts with Thumbnails