Monday, September 20, 2010
Aku dan Hari Malaysia
16 September telah dinobatkan sebagai Hari Malaysia. Kelakar jugak melihat bagaimana Hari Malaysia lebih meriah penerimaannya oleh rakyat daripada Hari Merdeka. Mungkin sebab tahun ini adalah kali pertama ia disambut. Atau memang perangai orang Malaysia yang memang suka mengambik hati PM mereka. Atau Hari Malaysia ialah escapisme dari perayaan yang berbau kebangsaan atau keagamaan yang lebih berpihak kepada satu-satu bangsa di negara ini. Pada aku; Merdeka ialah perayaan kebebasan Malaysia. Dan 16 September ialah perayaan penyatuan rakyat archipelago ini dalam membentuk Malaysia.
Penyatuan takkan berjaya jika aliran pemikiran sebagai warganegara tidak selari. Kerana bila ditemuramah, setiap orang memberikan pendapat yang berbeza-beza tentang apa ertinya menjadi warganegara Malaysia. Ada yang cakap menjadi rakyat Malaysia ialah dengan memainkan peranan kita dalam pembangunan negara. Ada yang cakap, cukup sekadar kita ni bayar cukai dan saman on time. Dan semakin ramai pula yang berpendapat, menjadi rakyat Malaysia ialah dengan mendapat hak-hak keistimewaan yang sama rata antara semua rakyatnya. Apa pun intepretasi masing-masing dalam hal ini, semua bersetuju bahawa kebencian dan permusuhan bukanlah salah satu agenda yang boleh ditoleransikan di Malaysia.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Malaysia terbina dengan toleransi semua pihak di negara ini. Secara sejarahnya, Raja yang asalnya menjadi ketua negara, telah bertoleransi dengan menganggotai Persekutuan Tanah Melayu dan meng sub con kan tugas-tugas pentadbiran negara itu (kecuali agama dan adat istiadat budaya) kepada badan politik yang ditentukan secara sistem demokrasi. Dan untuk menjadi sub con pilihan Raja, badan politik itu pula mestilah merangkumi majoriti rakyat yang kini terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan budaya. Mereka tidak boleh berjaya jika mengharapkan sokongan hanya dari bangsanya saja. Mereka perlu bersatu dan dalam persatuan, toleransi amatlah penting dalam menjayakan objektif kumpulan demi kebaikan sendiri. Melayu bertoleransi dengan membenarkan bangsa lain turut terlibat dalam pemerintahan. Orang Cina bertoleransi dengan menjadi penyumbang tetap kepada perbendaharaan negara. Orang India pula, menjadi orang dibelakang tabir bagi setiap urusan yang dilakukan oleh orang Melayu dan Cina. Kita tidak perlukan orang dari negara lain. Kita sebenarnya sudah cukup dengan orang kita sendiri.
Namun, sikap toleransi yang kita lihat di Malaysia sudah jatuh nilainya. Satu sebab utama ialah kerana setiap setiap bangsa sudah memperbaiki kelemahan mereka dan mahu bahagaian yang lebih besar dari kekayaan yang diperoleh dari negara ini. Toleransi sudah menjadi sandiwara yang digunakan oleh pihak tertentu atau sekadar perkataan yang disalahguna untuk menghapuskan saingan. Sifat toleransi ini semakin terhakis dek desakan gaya hidup dan arus globalisasi yang menyemaikan sikap individualistik. Ditambah pula dengan keadaan dimana ruang udara ekonomi dan sosial Malaysia yang sudah dibuka demi menyediakan rakyat Malaysia untuk tsunami kebudayaan dan ekonomi yang memang melanda dunia. Semua orang sibuk menyelamatkan diri masing-masing tanpa mempedulikan apa nasib yang menimpa negara ini.
Sebelum artikel ini menjadi terlalu panjang dan memboringkan, biarlah aku habis kat sini saja. Apa yang aku nak ingatkan kepada diri aku sendiri sempena dengan 16 September ialah supaya kita semua lebih mementingkan keharmonian daripada perpecahan. Kita mungkin mempunyai pendapat yang berbeza atau dididik dalam suasana yang berbeza. Namun, kita masih boleh membincangkan perselisihan pendapat itu secara ilmiah dan profesional. Tambahan pula, lagi pelbagai pendapat yang ada dalam sesebuah kumpulan, maka lebih matanglah kumpulan itu dalam menghadapi cabaran yang bakal mereka tempuhi, asalkan mereka sedar bahawa mereka itu berada dalam satu kumpulan.
Dalam kisah penubuhan Malaysia, 16 September juga mengingatkan kita kepada peristiwa keluarnya Singapura dari persekutuan ini. Ia juga mengingatkan kita kepada penolakan Brunei dari menyertai kita. Ia mengingatkan kita bahawa dalam kepayahan kita untuk berusaha untuk pembangunan bersama, masih ada pihak yang hanya mementingkan diri mereka sendiri. Ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita rakyat yang hina dalam menilai pemimpin yang kita sokong daripada terjebak dan menjadi mangsa dalam permainan politik semakin hilang integritinya. Keindividualistikan Brunei dan Singapura adalah pengajaran yang sangat berharga bagi rakyat Malaysia dalam hal memilih ketua. Anda pilih: anda mahu ketua yang macam Sultan Brunei atau pemerintahan demokrasi bermonarki macam di Singapura?
Apa-apa pun intepretasi korang terhadap 16 September, aku ingatkan pada diri aku sendiri untuk mensyukuri keamanan dan kesejahteraan ini dan aku berharap agar Allah mengekalkan keadaan ini atau tambah baik lagi. Dan aku harap aku dapat mengenali si celaka-celaka yang cuba memecahbelahkan Malaysia. Aku takmau lagi ada 3rd Singapura atau mendoakan Raja yang tak peduli pun keadaan rakyat, walhal keadaan jalan yang berlubang-lubang di depan Masjid Negerinya. Aku mahu lebihkan bekerja dan kurangkan mengomen dan untuk itu, aku berenti sampai sini dulu.
Labels:
Artikel,
Isu Semasa,
melayu islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
kena kuat kerja kita nampaknya
betul. kena kerja kuat ni sebab saya sendiri pun macam terkesan jer dengan semua ni...
Post a Comment