Thursday, August 5, 2010

Pedih di Hulu Hati


Kadangkala kita rasa diri ini sudah sampai di penghujung jalan. Rasa bagaikan sudah tiada harapan lagi untuk kembali mendapatkan kehidupan seperti yang dicitacitakan. Esok diramalkan mendung jikalau tidak hujan lebat sehingga entah siapa yang tahu. Jalan hadapan yang biasanya dipenuhi dengan gelak ketawa teman, kini bagaikan satu lorong gelap yang sungguh menghantui. Pandangan ini sudah dikaburi. Tangan ini sudah tak menggapai lagi.

Pada masa itulah kita mula terkuis-kuis, mencari kembali sisa-sisa rohani yang sudah lama kita tertawakan. Pedulikanlah siapa yang tertawa sekarang. Kerana mata ini sudah barai untuk dikekalkan dalam keadaan terbuka. Tiada apa lagi yang manis untuk dipandang dan dihayati. Kerana salah kita juga yang lama terlupa kehendak hati nurani.

Berat atau tidak kita cuba teruskan jugak. Meneruskan hidup yang semakin hilang nilainya. Kerana di bahu ini tersangkut tali-tali pengikat yang sememangnya berat, tetapi masih perlu dipikul dan diela. Tak tau mengapa kita tak berkira. Ia bukan budi, bukan hutang atau beban. Itulah agaknya kasih sayang.

Barulah kita menepuk dahi seolah-olah tersedar dari lamunan di siang hari. Hati ini sudah lama rasanya dibiarkan membenci. Terlalu tenggelam dalam semangat ingin berjaya sehingga membuahkan sifat ingin ketawa. Mengetawakan orang yang lebih rendah dari kita. Seolah-olah kitalah sultan, alim atau kapla. Hati kembali terdetik. Bibir mula tersenyum. Namun titisan air mata kesal dan malu masih tersimpan di lubuk hati yang tersangat kotor. Mujurlah kotoran itu semakin terlarut.

Tak mengapa, biarkan saja. Orang memang suka berkata-kata. Kesunyian membuatkan mereka mereka-reka sehingga terlupa asal pangkal derita. Memang benar, kita bersalah kepada diri ini. Jangan pula kita bersalah kepada orang lain nanti.

Dia memang Ada dan Sedang Memerhatikan kita. Berdoalah agar Dia masih tangguhkan kita.

Perjalanan


Salam. Dalam mengharungi perjalanan ini, cheiii..Perjalanan konon. Taupun hidup ini sebuah perjalanan. Tapi apsal kau dok berlengah-lengah lagi? Leka dengan 'rehat jap' atau'rilekla dulu' atau 'ni yang last'. Masa semakin suntuk. Kau pun tahu ni. Tapi masa semakin suntuk untuk apa? Apa lagi? Mati laa. Takpun kiamat. Tanda-tanda besar dah keluar. Harini hari Khamis. Tak mustahil dalam masa dua-tiga jam lagi nak Jumaat nantik, Dia boleh tekan butang merah dan esok; matahari terbit dari barat. Ko tak perasan. Of course kau tak perasan. Sebab kau leka dengan posting-posting dalam blog ni.

Alih-alih semua meletup, semua lari bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing ke mana ntah tak sapa pun tahu, dan lastlast, kita semua berdiri telanjang di padang pasir berwarna putih, tanpa arah kiblat atau sebagainya, tak ke haru?

Kalau simple camtu takpe gak. Takk...Cerita realiti tak semudah memakan aiskrim pedelpop. Kau mati dulu. Dan kau melalui barzakh. Haduihh...Dok dalam penyesalan. Menyesal tu. Menyesal ni. Sapa yang tak buat salah? Cakap! Sapa yang tak pernah silap? Dah tu apsal dok bertangguh-tangguh nak mintak mahap? Nak mintak ampun? Nak bayar hutang?
Dus! Kiri. Dus!! Kanan. Tanya tu, takleh jawab. Tunjuk muka ni, takleh nak cam. Pang!! Kena bedal tang belakang. Waah...Malaikat pun nampak cam hambik kesempatannn plak. Sekali haku, Hadoii!!! Sakitlaaa! Mana aku tau....!

Apsal takleh jawab? Pasal tak solat. Brader, jomla kita solat. Masa dah time. Kalau dah solat, dah habis solat ganti? Dah solat taubat? Dah solat tasbih? Dah bersyukur? dah berterima kasih?
Dah berkasih?

Berat bro..beraaat. Wallahua'alam. Astaghfirullah..

Puji-Puja-Azam-Doa 22Feb 2008 15hb Safar 1429


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Al-Khaliq yang menciptakan sekalian makhluk. Dari sebesar-besar Arasy, sehingga sekecil-kecil atom. Dari yang sejelas-jelas manusia, hingga sehalus-halus masa. Tuhan yang mentadbir kesemua yang dicipta Nya secara bersendirian, tiada perlu bersekutu dengan apa-apa. Maha Suci Allah, Yang Ketinggian dan Kebesaran Nya tidak dapat digambar atau dibayangkan oleh makhluk hina seperti aku ini. Tiadalah Dia merasa susah, penat atau mengantuk dalam mengurus dan menentukan segala-galanya, dari secantik-cantik perjalanan masa dan peristiwa, sehinggalah ke kehidupan mikrob-mikrob yang berterbangan di udara.

Maha Hebat Allah yang telah menciptakan cahaya, dari gelombang ringan ke gelombang berat, dari sekeras-keras hati manusia hingga selembut-lembut kasih sayang ibu. Maha Teliti Dia dalam urusan Nya, sehingga tiada satu perspektif pun yang terdapat cacat cela, dan semakin dikaji dan diperhati, semakin hebatlah bukti ketelitian Nya dalam mencipta.

Allah, Tuhan yang tidak bertempat, tidak terkandung dek hukum atau peredaran masa. Dia Tidak Bermula atau mempunyai Kesudahan. Tak terjangkau akan kehebatan dan kewujudan Nya dengan akal fikiran.
Tiadalah Dia bersandar hajat ke atas sesuatu. Tiadalah Dia tertakluk oleh sesiapa. Bahkan Dialah Yang Maha Menakluki. Al Malik yang Menguasai Hari Pembalasan. Hari yang telah dijanjikan. Hari kebangkitan makhluk Nya yang telah Dia matikan. Hari penzahiran akan keadilan dan ketelitian Nya.

Maha Suci Engkau Ya Allah. Tiadalah puji yang cukup untuk dijadikan pujian buat kemuliaan Mu. Tiadalah kata-kata indah yang boleh menggambarkan pujaan ke atas Mu. Maha Suci Engkau dari segala apa yang aku bayangkan.

Aku akui, Engkaulah Tuhanku, dan juga Tuhan sekalian alam. Bahkan, perkataan 'Tuhan' itu hanyalah untuk Mu. Tiada Tuhan selain Engkau, Ya Allah.

Maha Pemberi dan Maha Memerhati. Maha Kaya Engkau Ya Wahhab, mencurah-curah Rahmat Mu sekehendak Mu. Tiadalah berkurangan Kemuliaan Mu dek Kepemurahan Mu. Tiadalah bertambah Keagungan Mu dengan pujaanku. Kau Maha Perkasa dan Kau Satu. Tiada yang serupa dengan Mu.

Segala puji buat Mu Ya Rahman, dengan Rahim Mu jualah aku berupaya mengetahui sekelumit cahaya akan Keagungan Mu. Dan aku amat bersyukur dengan pemberian Mu ini. Tambahkanlah lagi hidayat dan taufik dari sisi Mu kepadaku agar dapat ku mentaati Mu dengan lebih baik lagi. Ampunkan dan kasihanilah kami, ummat Muhammad SAW, yang buta, tuli dan keseorangan ini. Selamatkanlah hati kami dari jauh dari Mu. Selamatkanlah kami dari selain Mu. Izinkanlah kami pulang ke pangkuan Mu. Kau telah menjadikan kami, maka izinkanlah kami mengucapkan syukur kami yang tak seberapa ini kepada Mu.

Lain-lain cerita berkaitan:

Related Posts with Thumbnails