Friday, September 3, 2010

Ramadhan Pergi Kembali

Sungguhpun ketibaan Aidilfitri adalah hari yang tunggu-tunggu oleh semua orang Melayu, lain pulak halnya dengan aku. Aku lebih suka bulan Ramadhan dari bulan Syawal. Dan Hari Raya Puasa adalah hari yang tak berapa aku gemari. Mak bapak aku dah berpisah sejak aku dari kecik. Aku nilah satu-satunya anak hasil perkongsian hidup mereka yang singkat satu masa dulu. Dan seperti Raya pada tahun-tahun membesar, aku akan berbelah bagi kat mana nak sambut Hari Raya Pertama nantik. Sungguhpun rumah mak dan rumah bapak aku dekat area-area Rembau jer, dan tak susah sebenarnya untuk aku pagi di sini dan petang di sana, aku biasanya akan menghabiskan banyak masa pada awal bulan Syawal dengan keseorangan. Kalau tak dok termenung membatu, aku akan ternganga membuta. Kat depan TV.

Bukan kerana aku ni anti sosial. Bukan kerana aku ni sombong. Memang kerana aku ni seorang pemalas. Hari Raya padaku hanyalah hari di mana aku memenangkan tabiatku yang suka makan jajan. Sambil layan TV dan takde sapa nak marah aku sebab diorang sumer sibuk pergi jenjalan ke rumah orang. Dapatlak kalau aku ada stok duit raya yang mencukupi untuk merasuah anak setiap orang yang cuba nak mempersoalkan kegiatanku. Ritual Hari Raya padaku hanyalah mintak hampun kat mak bapak, semayang Raya, ziarah kubur dan rumah guru. Bila lapar, pegi rumah member. Itu ajer dan bila cuti dah habis, aku akan kembali bekerja. Cam beser.

Bila dah berumahtangga ni, barulah sambutan Raya aku ada sedikit makna. Dapatlak bila dah dikurniakan cahaya mata. Berkat desakan dan bebelan orang rumahku, barulah aku ni tergerak untuk berjalan Raya ke sana ke mari. Barulah kenal itu paklong, ini auntie Rini. Aku mula memahami kepentingan untuk saling kenal mengenali antara sesama manusia dan keluarga. Skil terbaru yang semakin aku perhalusi hasil dari semua ini ialah skil mengekalkan keadaan wajahku dalam keadaan senyum kerang busuk sepanjang hari walaupun badan dah berlengas rasa macam kena mandi. Bagus jugak tu. Aku ni pun tak pandai berpura-pura.

Apa pun tanggapan ku terhadap Hari Raya, ia akan tetap datang jua. Sama ada aku habiskan masa itu nanti dengan keboringan dan kesepian, atau nak gunakan kesempatan itu untuk catch-up dalam department 'keluarga', aku hanya boleh merancang. Dan aku taknak buat rancangan yang terlalu detail, atau letak expectation yang tinggi sangat dalam sambutanku untuk Raya kali ini. Walaupun aku tak pernah memahami nikmat berhari Raya dalam sebuah keluarga yang bahagia, aku berazam untuk melakukan yang terbaik, demi anak-anakku.

Untuk itu, air liur jer tak cukup. Aku perlukan persediaan mental dan fizikal. Dan lebih-lebih lagi kapital. Paling tidak pun, bekalan petrol yang mencukupi. Selamat Jalan, Ramadhan fourteenTHIRTY ONE. Ahlan wa sahlan, Hari Lebaran.

1 comment:

Linda2 said...

alhamdulilahhhh.... ; p

Lain-lain cerita berkaitan:

Related Posts with Thumbnails